Archive for August, 2008

Buat Suami Tersayang…

northerneire

Suamiku

Maaf di atas keluh dan resah
Aku tewas di medan jiwa ku
Kerna aku baru belajar
Belajar menjadi seorang mujahidah

Namun gagalku sementara cuma
Itulah iman dengan seribu gelombangnya
Kugagahi segala dengan doa dan cita

Kata-kataku mungkin hambar
Ia sekadar cerita hidupku
Isteri sepi menagih simpati
Agar dunia tahu dan restu

Pesan dari teman yang dikenali
”Wanita itu rusuknya bengkok
Luruskan..berhati-hati
Bertegas..jangan keras
Berlembut..jangan sampai reput”
Itulah hakikat seorang isteri

Suamiku
Suka duka, tangis ria
Resepi hidup kita selamanya

Suamiku
Kupohon sabar darimu
Agar aku redup di bawah payungmu
Agar aku terang di bawah sinarmu
Agar aku mekar di dalam cintamu

Pergilah suamiku
Medan itu lebar dan luas
Engkau mujahid untuk semua
Kan kuiringkan doa dan cinta
Agar syurga Allah diberi balas

Tenang dirimu dalam doaku
Tenang diriku dalam cintamu..

UMMUSAIF.COM
9 Februari 2008

Inspirasi Dari Suami Tersayang…

Sebelum melangkah pergi…

Pergiku bukan suatu pemergian
Ia adalah sebuah perjuangan
Perjuangan untuk mendidik anak bangsa kita
Perjuangan untuk menyubur matang kasih dan cinta kita
Guru bernama Ilmu untuk mereka
Guru bernama rindu untuk kasih sayang kita
Kenanglah daku dalam doamu

Kerana Dia…
Bertemu tidak jemu
Berpisah tak gelisah.

-Abu Saif, 12 Ogos 2008.

Nak tulis apa ni ek?

Saya juga ingin menulis, tapi masih tidak tahu apa yang nak disampaikan kepada semua. Biasanya saya akan berceloteh di blog hubby saya iaitu Saifulislam.com, walaupun ada kala saya malas nak ‘layan’ persoalan-persoalan yang ada di situ. Mungkin bukan tidak tahu, cuma tidak tahu yang mana satu.

Apakah ’speciality’ saya? Yang pastinya saya lemah dalam isu-isu global dan haraki. Minat saya lebih cenderung kepada isu kesihatan, kekeluargaan, dakwah para remaja dan akhlak. Saya sentiasa bercita-cita untuk membuka dan mengubah minda semua untuk masalah kesihatan, hospital dan yang berkait dengannya.

InsyaAllah, saya akan cuba menulis dengan efektif, efisien dan istiqomah. Dengan itu para pembaca, doakan saya..

UMMUSAIF.COM
56000 Kuala Lumpur

Mulanya di Sini…

Segalanya bermula di langkah satu… di sini… di hari ini!

Terkial-kial..

Ini kali pertama saya menaip untuk blog saya sendiri. Biasanya saya cuma menempek di blog suami tersayang saja. Tapi, kali ini saya sudah ada medan sendiri, medan sendiri untuk memberi (pinjam motto suami saya).

Blogging.

Saya mengambil masa yang agak lama untuk menyertai alam blog. Orang pertama yang memperkenalkan saya kepada blog tidak lain tidak bukan adalah suami saya Hasrizal aka Abu Saif. Beliau secara literalnya tidak pernah mengajar kepada saya apa itu yang dinamakan dengan blog namun kerana cintanya kepada memberi, maka Saifulislam.Com telah menjadi inspirasi kepada diri saya.

Pada mulanya, saya amat pesimis tentang internet, chatting dan blogging. Antara perkara yang merisaukan saya apabila memasuki alam siber ini ialah addiction atau ketagihan. Betapa pengalaman semasa alam universiti dulu menghantui saya. Bukan sahaja kerana melihat manusia bercinta buta dengan mana-mana mamat di ruangan chat malah ada yang 24 jam menatap komputer hingga gagal peperiksaan besar akhir tahun!

‘Trauma’ itulah yang sering menghantui saya. Saya bukan sahaja mengelakkan diri untuk membaca blog atau website malah saya juga seakan-akan membencinya. ‘Benci’ kerana ia seakan-akan mencuri masa insan kesayangan saya. Mencuri masa kami sekeluarga hingga masa santai pun dihabiskan untuk blog dan bukannya untuk isteri dan anak-anak.

Tahun demi tahun…

Saya cuba mempelajari apa yang dinamakan dengan istilah blogging. Mengapa orang mempunyai blog mereka sendiri? Mengapa mereka menulis kisah mereka dan menceritakan kepada dunia hingga seperti jarang tanpa tembok? Mengapa mereka mengambil masa berjam-jam di rumah untuk ‘melayan’ blog? Prasangka saya hanya kerana mereka ‘tersangkut’ dengan chatting bersama teman yang kadang-kadang tidak mereka kenali. Sekadar mengisi masa kosong..

Tapi, itu dulu..

Setiap insan menulis kerana objektif dan tujuan masing-masing. Ada yang menulis untuk luah isi hati seperti diari atau monolog, ada menggunakannya sebagai medan berdakwah, ada untuk berkongsi kemahiran seperti resepi, ada yang menyampaikan ilmu untuk yang mencari. Buat suami tersayang, beliau menulis kerana sifat MEMBERInya yang sangat tinggi. Ikhlas menulis bagi mencetus MAHU, agar bergerak terus menuju MAMPU.

Mungkin sekarang saya sudah TAHU dan MAHU dan akhirnya menuju MAMPU. Syabas buat suami tersayang kerana berjaya mengajar saya ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Semoga kita menjadi inspirasi buat diri masing-masing.

Sesungguhnya, kaulah pelengkap diri ini…

UMMUSAIF.COM
56000 Kuala Lumpur