Segalanya bermula di langkah satu… di sini… di hari ini!
Terkial-kial..
Ini kali pertama saya menaip untuk blog saya sendiri. Biasanya saya cuma menempek di blog suami tersayang saja. Tapi, kali ini saya sudah ada medan sendiri, medan sendiri untuk memberi (pinjam motto suami saya).
Blogging.
Saya mengambil masa yang agak lama untuk menyertai alam blog. Orang pertama yang memperkenalkan saya kepada blog tidak lain tidak bukan adalah suami saya Hasrizal aka Abu Saif. Beliau secara literalnya tidak pernah mengajar kepada saya apa itu yang dinamakan dengan blog namun kerana cintanya kepada memberi, maka Saifulislam.Com telah menjadi inspirasi kepada diri saya.
Pada mulanya, saya amat pesimis tentang internet, chatting dan blogging. Antara perkara yang merisaukan saya apabila memasuki alam siber ini ialah addiction atau ketagihan. Betapa pengalaman semasa alam universiti dulu menghantui saya. Bukan sahaja kerana melihat manusia bercinta buta dengan mana-mana mamat di ruangan chat malah ada yang 24 jam menatap komputer hingga gagal peperiksaan besar akhir tahun!
‘Trauma’ itulah yang sering menghantui saya. Saya bukan sahaja mengelakkan diri untuk membaca blog atau website malah saya juga seakan-akan membencinya. ‘Benci’ kerana ia seakan-akan mencuri masa insan kesayangan saya. Mencuri masa kami sekeluarga hingga masa santai pun dihabiskan untuk blog dan bukannya untuk isteri dan anak-anak.
Tahun demi tahun…
Saya cuba mempelajari apa yang dinamakan dengan istilah blogging. Mengapa orang mempunyai blog mereka sendiri? Mengapa mereka menulis kisah mereka dan menceritakan kepada dunia hingga seperti jarang tanpa tembok? Mengapa mereka mengambil masa berjam-jam di rumah untuk ‘melayan’ blog? Prasangka saya hanya kerana mereka ‘tersangkut’ dengan chatting bersama teman yang kadang-kadang tidak mereka kenali. Sekadar mengisi masa kosong..
Tapi, itu dulu..
Setiap insan menulis kerana objektif dan tujuan masing-masing. Ada yang menulis untuk luah isi hati seperti diari atau monolog, ada menggunakannya sebagai medan berdakwah, ada untuk berkongsi kemahiran seperti resepi, ada yang menyampaikan ilmu untuk yang mencari. Buat suami tersayang, beliau menulis kerana sifat MEMBERInya yang sangat tinggi. Ikhlas menulis bagi mencetus MAHU, agar bergerak terus menuju MAMPU.
Mungkin sekarang saya sudah TAHU dan MAHU dan akhirnya menuju MAMPU. Syabas buat suami tersayang kerana berjaya mengajar saya ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Semoga kita menjadi inspirasi buat diri masing-masing.
Sesungguhnya, kaulah pelengkap diri ini…
UMMUSAIF.COM
56000 Kuala Lumpur

Seeru ‘ala barakatillah my dear!