
MEDEVAC (sumber: wikipedia)
“No money, no talk“.
Itulah kata-kata terakhir daripada pensyarah jemputan tutorial program Sarjana Perubatan Kecemasan pada tengahari itu.
“If no travel insurance, then no medevac”, tambah rakan di sebelah saya.
Tatkala itu, saya teringatkan hubby saya yang akan terbang ke Jepun. “Saya mesti beritahu hubby!”, bisik hati ini.
Pensyarah kami pada tengahari itu tidak lain tidak bukan ialah Dr Jaseemudin, seorang yang aktif dengan medical air evacuation (medevac). Pengalaman bertahun-tahun beliau telah menjadikan dirinya sangat pakar dalam bidang ini lantas beliau bukan sahaja ‘wanted‘ untuk misi di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.
Sebagai seorang intensivist (pakar bius di ICU) dan pesara tentera udara (Kolonel), beliau amat sesuai dan cekap untuk tugas ini. Beliau menceritakan bagaimana beliau berhempas pulas cuba meresusitasi pesakit di dalam perjalanan. Ramai pesakit yang menghadapi kadar dehidrasi yang serius disebabkan udara yang kering di langit tinggi. Pelbagai insiden yang menyebabkan pesakit dipindahkan melalui Medevac.
Di antaranya ialah jatuh sakit strok semasa melakukan ibadah haji.
Insurans Perjalanan
Insurans perjalanan bertujuan untuk menampung perbelanjaan perubatan, kecurian dan kehilangan barang serta kewangan (contohnya pergi ke luar negara untuk melabur tetapi mengalami kerugian yang tidak dijangka) semasa dalam perjalanan. [Rujuk: Travel Insurance di Wikipedia]
Lazimnya, insurans perjalanan dibeli ketika membuat pembelian tiket perjalanan daripada agen pelancongan. Misalnya, semasa membeli tiket Air Asia, insurans ini sudah sedia dimasukkan, tetapi pembeli diberi pilihan untuk membatalkannya.
Bagaimanapun, insurans yang dibeli dari agen pelancongan, coverage yang ditawarkan tidak menyeluruh berbanding dengan insurans yang dibeli dari syarikat insurans.
Di antara risiko perjalanan yang ditanggung oleh insurans ialah:
- perbelanjaan kewangan
- kematian dan kecederaan
- bantuan guaman dan mahkamah
- kehilangan dan kelewatan bagasi
- pembatalan tiket
- kehilangan, kecurian dan kerosakan barangan peribadi termasuk dokumen perjalanan.
Pelajar di Luar Negara
Bagi pelajar yang menuntut di luar negara, saya sangat mengesyorkan anda semua membeli insurans perjalanan daripada syarikat insurans sebagai pelaburan sepanjang tempoh berada di luar negara. Somehow, tidaklah balik ke Malaysia tanpa ‘modal’ untuk memulakan hidup.
Sekurang-kurangnya pelajar di luar negara patut mendapatkan Kad Kembara Pelajar (Student Card) seperti ISIC Student Card. Ia bukan sekadar menawarkan diskaun untuk anda melawat muzium dan membeli tiket, tetapi yang lebih penting, ialah soal insurans yang saya perkatakan tadi.
Kesan Ketiadaan Insurans Perjalanan
Kata hubby, kiosk menjual insurans perjalanan ini ada disediakan di airport secanggih Tokyo Narita, hinggalah ke airport sederhana seperti Ujung Pandang di Makassar. Tetapi tidak di KLIA mahu pun LCCT.
Saya dan hubby tergesa-gesa mencari tempat untuk membeli insurans sebelum berangkat ke Jepun tempohari. Setelah mencari di internet, bertanyakan di kaunter tiket, KL Sentral dan KLIA, malangnya usaha kami hanya sia-sia. Sukar sekali untuk membeli insurans perjalanan. Mungkin kerana tiada kesedaran tentang kepentingannya di dalam masyarakat kita. Ia bukan sekadar diperlukan untuk negara bergunung berapi dan gempa bumi!
Saya sangat berharap agar fasiliti seperti ini dapat dipermudahkan lagi dan mudah diperolehi oleh penumpang yang berhasrat membelinya.
Malah semasa membeli tiket Air Asia, janganlah kita membuang option insurans perjalanan semata-mata untuk menjimatkan belanja dan bertanding tiket siapa lebih murah.
Jangan nanti, sudah terantuk baru tengadah!
Jika Ada Insurans Perjalanan
Kalau ada insurans perjalanan, pertamanya pelancong atau pengembara akan tahu pihak yang patut dihubungi jika berlaku kemalangan atau jatuh sakit dan sebagainya. Kedua, bayaran bil yang mahal di negara asing dapat ditampung hanya dengan sedikit pelaburan ketika membeli insurans tersebut. Mampukah kita membayar bil rawatan di kota semahal Tokyo, jika kita hanya seorang pelancong dan bukannya penduduk tetap?
Kemudian, kemudahan medevac iaitu fasiliti ambulans udara untuk memindahkan kita pulang ke Malaysia sebagai pesakit HANYA terjamin jika ada insurans perjalanan tersebut. Setahu saya, menaiki kapal terbang secara berbaring di atas stretcher sekurang-kurangnya sama dengan 4 ke 6 tempat duduk jika anda menaiki pesawat komersil. Kiralah harga tersebut, di samping cas-cas lain itu.
Tidak lupa, soal menghantar pulang jenazah.
Saya teringat, hubby pernah bercerita, ada student Malaysia di Jordan yang terpaksa dibantu dengan derma kilat sebanyak RM25K, supaya dia boleh dihantar pulang dengan kapal terbang, selepas lumpuh akibat kemalangan jalan raya! Itulah kesan tiadanya insurans perjalanan untuk pelajar Malaysia di luar negara.
Sudah tentu, apabila saya menyebut tentang insurans, ia harus dibaca oleh seorang Muslim sebagai TAKAFUL dan mengambil kira kesesuaian polisi dengan syariat Islam kita.
Jadi, sebelum anda seronok dilambung roller coaster Disneyland di Florida atau Hong Kong, sudahkah anda mendapatkan perlindungan yang saya nyatakan ini?
Sediakan payung sebelum hujan!
UMMUSAIF.COM
56000 Kuala Lumpur

Oh, ini yang ustaz ceritakan ketika di Narita. Sekarang tak sangka ada entri khas menerangkan dengan detail. Kesedaran baru yang mesti diambil tahu oleh rakyat Malaysia. Baguslah.
Di KLIA sudah ada ke premis insurans perjalanan ni?