
Baru-baru ini suami saya telah menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 34. Alhamdulillah, semoga panjang umur, dimurahkan rezeki dan sentiasa diberkatiNya.
Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, kami akan membuat sambutan apabila tiba tarikh ulang tahun kelahiran walaupun sekadar makan-makan di luar seisi keluarga. Namun, kali ini saya inginkan kelainan, di samping tekak saya yang sangat teringinkan makanan di restauran ala Buffet dek kerana menunya yang pelbagai.
Di ceruk hati, saya mengimpikan Restoran Berputar Seri Angkasa di Menara Kuala Lumpur. Hasrat hati disampaikan kepada suami. Maka, pada pagi Selasa 14 April 2009, suami menghubungi restoran tersebut untuk membuat reservation. Ia perlu dilakukan terlebih dahulu kerana selalu juga restoran tersebut akan penuh dengan pengunjung. Tetapi saya rasa tempahan awal itu adalah untuk security memandangkan lokasi restoran di puncak Menara KL yang boleh jadi indah, mudah juga mengundang padah.
Alhamdulillah, masih terdapat kekosongan untuk sesi late dinner buffet.
Pada malam itu, kami bersiap selepas Solat Maghrib. Anak-anak telah terlebih dahulu disuap hingga kenyang agar mereka bersedia untuk tidur apabila tiba waktu untuk keluar rumah. Dengan bantuan bibik, maka semuanya teratur.
Saya mengenakan dress dan tudung yang dibeli khas untuk malam itu. Kebiasaan tahun-tahun sebelum ini, kami cuma berbaju kasual untuk pergi makan-makan di luar. Tapi, kali ini saya inginkan kelainan agar kenangan ini sentiasa segar di ingatan kami berdua. Sekali sekala kita perlu berbuat aktiviti begini bagi menyemarakkan cinta rumah tangga kita. Ini penting dan essential untuk keutuhan yang berkekalan. Jangan ingat, hanya mereka yang bercouple atau orang putih sahaja boleh buat seumpama ini.
Tapi suami tetap seperti biasa. Ke ceramah pun begitu, naik kapal terbang ke luar negara pun sama dan malam itu, beliau memakai baju Melayu favouritenya. Dan entah kenapa, saya sentiasa menyukainya. Mungkin kerana itulah imejnya sejak kali pertama kami bertemu.
Kami sampai di Menara Kuala Lumpur sekitar pukul 9 malam. Alhamdulillah, cuaca pada malam itu nyaman dan tidak mendung. Langit malam itu dipenuhi dengan bintang-bintang dan kami dapat melihat puncak menara dengan jelas sekali dari tempat parkir.
Inilah kali pertama saya sampai ke kemuncak Menara Kuala Lumpur semenjak ia dibuka pada tahun 1996. Teruja dengan layanan first classnya semasa menyambut ketibaan kami di pintu lif. Kami terus dibawa dengan lif ke Restoran Seri Angkasa yang berada pada ketinggian 282 meter dari permukaan tanah.

Suasana di restoran sangat romantik. Lampu yang malap, pengunjung yang tidak terlalu ramai serta jauh dari bunyi yang bingit adalah suasana yang saya harapkan. Ditambah pula dengan alunan muzik piano yang didendangkan oleh seorang ahli muzik khas pada malam itu.

Sejurus ditempatkan ke meja kami, kami terus menuju ke meja hidangan buffet. Almaklum sahajalah, perut masing-masing sudah keroncong. Kami terus memilih nasi minyak sebagai menu pertama. Seterusnya kami memilih makanan laut dan diakhiri dengan pastries dan kek. Terus terang, saya katakan makanan di sini tidaklah begitu pelbagai terutama di bahagian dessert. Saya pernah pergi ke satu hotel di seberang Hospital Kuala Lumpur yang mempunyai lebih banyak pilihan dengan harga yang sangat murah.
“Nampaknya, Ummi kena cari restoran yang lagi bestlah..”, bisik saya kepada kandungan saya.
Walau bagaimanapun, suasana romantik yang menyelubungi diri tetap menjadi pujian saya.

Di akhir dinner kami, saya mendedikasikan lagu “Happy Birthday To You” dan “I Will Always Love You” kepada suami, yang didendangkan oleh penyanyi dan pemain piano khas tadi. Tetapi suaranya bermasalah sikit. Rasa nak minta suami gantikan sahaja.
Selesai makan, kami pun terus pulang ke rumah. Anak-anak sudah pun tertidur bergelimpangan di ruang tamu. Kasihan..
“Abi dan Ummi keluar sebentar sayang, demi untuk kebahagiaan keluarga kita..”

UMMUSAIF.COM
68000 Ampang
Semoga keluarga Ummu Saif sentiasa dilimpahi rahmat dan kebahagiaan…Amin…