
Salam Jumaat buat semua. Semoga semua dalam kemanisan iman.
Seperti biasa pada setiap hari Jumaat, saya akan mengambil Saiful Islam dari sekolahnya pada pukul 12.30pm. Sekolahnya terletak di Taman Resmi Jaya, bersebelahan Taman Kosas di Ampang.
Pukul 12pm ke atas memang sudah lazim waktu yang sibuk kerana ia waktu rehat bagi semua penjawat awam serta waktu rehat sekolah sementara masuk waktu sesi petang. Jalan utama di Taman Kosas sudah pun jem. Semua kereta dengan perlahan-lahan menyusuri sepanjang jalan utama tersebut.
Sampai di satu simpang pintu masuk sebuah kawasan kondominium, kereta saya terpaksa berhenti seketika kerana jalan semakin sesak.
Tiba-tiba, saya terdengar bunyi “bang” di luar pintu kereta saya, seolah-olah ditendang dari luar. Saya melihat ke luar tingkap, cuma kelihatan sebuah motorsikal dan pemboncengnya yang sedang bergerak laju menentang arus kereta. Tetapi dek kerana jaraknya yang tidak begitu hampir dengan kereta saya, maka saya tidak meneka pembonceng itu yang melanggar kereta saya. Saya teruskan perjalanan lagi dengan sangat perlahan, kira-kira kurang daripada 5 km sejam.
Tiba-tiba, tidak sampai 1 minit selepas itu, pemandu van di hadapan saya keluar dari kenderaannya dan terus menahan serta menendang sambil memarahi pembonceng motor tadi. Saya amat terkejut dengan kejadian itu. Apa sebenarnya yang sudah terjadi?
Kemudian datang seorang lelaki lain pula segera menghampiri sisi kereta saya dan terus membongkok di tepi pintu kanan kereta saya.
Allahu akbar!
Seorang kanak-kanak lelaki dalam lingkungan 8-9 tahun dipapah dalam keadaan kepalanya berdarah! Terasa luruh jantung saya di buatnya. Rupa-rupanya, bunyi “bang” tadi adalah bunyi kanak-kanak tersebut jatuh dan menghentak kereta saya. Mujurlah kereta saya tidak bergerak laju. Jika tidak, mungkin kereta saya juga boleh menambahkan kecederaannya.
Saya tergamam seketika bersama debaran jantung yang kencang. Semua yang berada di situ juga tergamam termasuklah semua kereta yang sedang berjalan.
Saya ingin sekali memberhentikan kereta dan membawa kanak-kanak tersebut terus ke Hospital Ampang. Akan tetapi jalan terlalu sibuk hingga untuk berhenti di sisi jalan pun tidak boleh. Kanak-kanak itu pula telah dibawa terus ke dalam perkarangan kondominium tadi.
Saya cuma berdoa agar kanak-kanak tersebut tidak mendapat kecederaan yang parah.
Dan yang paling penting, dia hendaklah segera dibawa ke hospital dan bukannya ke mana mana klinik.
Sekurang-kurangnya, beliau perlu mendapat pemeriksaan X-ray dan pemerhatian di wad pemerhatian (Observation ward) selama 12 jam oleh pihak jabatan kecemasan untuk kecederaan kepala (Cerebral Concussion).
Pengajaran daripada cerita saya pada kali ini ialah
1. Jangan biarkan kanak-kanak di bawah umur melintas jalan raya tanpa ditemani orang dewasa.
2. Motosikal mestilah mengikut jalan yang sepatutnya dan bukannya menentang arus jalan.
3. Semua mangsa yang terlibat di dalam kemalangan jalan raya mesti dibawa segera ke hospital yang berhampiran.
4. Semua pemandu mesti peka dengan keadaan sekeliling mereka walaupun di saat kenderaan tidak bergerak. Kerana di saat kereta mula bergerak, anda mungkin terlupa untuk memastikan keadaan di sekeliling selamat untuk semua.
UMMUSAIF.COM
68000, Ampang.
ana & member pg td on way ke off pg td terlanggar moto..die nak u-turn tp duk belah kiri,kami nak msk simpang..so terus bertembung..berderau rasa time tuh..mmg selalu kene aware walaupun bkn salah kite..huhu..berdebar sapa lani