
Khamis lalu saya pergi kerja seperti biasa.
Setelah 2 hari terlantar sakit dengan selsema, batuk dan asma, akhirnya Alhamdulillah saya segar kembali untuk meneruskan khidmat saya di green zone, Jabatan Perubatan Kecemasan PPUKM.
Sudah 2 minggu saya berada di green zone memandangkan saya sudah tidak bertenaga lagi untuk bekerja sesi syif dan juga melakukan oncall. Green Zone merupakan bahagian pesakit yang tidak kritikal dan mungkin juga pesakit yang tidak sepatutnya datang mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan. Triaj pesakit adalah bermula daripada triaj 3 hingga 6. Tempoh menunggu bagi triaj 3 adalah selama 2 jam manakala 4 jam untuk triaj 4. Triaj 5 dan 6 adalah untuk kanak-kanak dan juga warga emas.
Pesakit pertama yang saya periksa adalah sekitar 8.20 pagi. Bilangan pesakit terus bertambah mengikut masa. Alah, ada saje pesakit di bahagian green zone ini, ianya tidah pernah berhenti. Yang paling merunsingkan ialah apabila kebanyakan masalah kesihatan yang diajukan adalah masalah kesihatan yang ringan dan non urgent. Malah, boleh dirawat di klinik-klinik berbayar atau klinik kesihatan kerajaan. Seawal 8 pagi, pesakit mengadu rabun mata yang sudah pun bertahun dihidapi. Ataupun batuk dan sakit kerongkong yang hanya bermula semalaman, yang mungkin boleh sahaja dirawat dengan ubat batuk Cap Ibu dan Anak. Apa masalahnya di sini?? Hmm, hendak diulas di sini, terlalu merunsingkan kepala saya.
Alhamdulillah, pagi saya di green zone tidak lama. Tepat pukul 10 pagi, saya terpaksa meminta izin daripada rakan setugas yang lain untuk pergi ke temujanji sakit puan di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi.
TEMUJANJI SAKIT PUAN (ANTENATAL APPOINTMENT)
Hati berdebar-debar menunggu giliran. Lagipun, saya tidak ditemani suami pada kali ini. Tiada teman untuk berbicara.
3 minggu yang lalu, saya sudah pun membuat imbasan ultrasound ke atas kandungan. Ketika itu saya baru mengandung 28 minggu. Saya telah disahkan mempunyai kedudukan uri yang agak bermasalah iaitu Placenta Praevia posterior type 2.
PLACENTA PRAEVIA
Placenta praevia adalah kedudukan uri (placenta) yang tidak normal di mana uri terletak berhampiran dengan pintu serviks (os) atau menutupinya terus. Kelas 1, ialah uri berada berhampiran dengan os tetapi tidak menyentuhnya. Kelas 2, uri sudah pun menyentuh os. Kelas 3, uri menutupi sebahagian daripada os dan kelas 4 uri menutupi keseluruhan os.
Manakala, posterior pula adalah kedudukan uri di sebelah belakang uterus berbanding dengan anterior untuk bahagian hadapan.

Risiko mendapat placenta praevia adalah kebarangkalian untuk tidak melahirkan kandungan secara normal iaitu vaginal delivery kerana laluan os iaitu laluan untuk bayi telah tertutup. Dengan kata lain, pembedahan Caesarean section adalah jalan terakhir. Pendarahan juga boleh berlaku kepada uri apabila aktiviti berat, hubungan kelamin dan contraction berlaku. Pendarahan sangat merbahaya kerana ia boleh berlaku dengan cepat dan banyak.
Memandangkan usia kandungan baru sahaja berusia 28 minggu, maka Prof Madya Dr Nor Azlin, pakar Obstetrik dan Ginekologi saya memberikan tempoh selama 3 minggu lagi untuk membuat keputusan yang seterusnya.
‘CONFIDENT’
Sepanjang tempoh 3 minggu tersebut, saya jalani hari-hari saya seperti biasa. Tiada amalan atau aktiviti extra dilakukan atau pun dikurangkan. Sesekala kerisauan melintas di fikiran tetapi segera saya lenyapkan dengan kesibukan dan kepenatan harian. Saya juga tidak menambahkan usaha dengan sebarang amalan yang khabarnya boleh memulihkan kedudukan uri seperti amalan-amalan ayat al-Quran atau memperbanyakkan posisi rukuk dan sujud. Malah, saya juga tidak menambahgandakan amalan-amalan sunat saya lebih daripada biasa. Saya terus menjalani kerja-kerja oncall dan syif seperti biasa sehingga minggu ke 30.
Dengan kata lain, saya tidak begitu risau dengan berita itu.
Ini mungkin kerana ini merupakan kandungan saya yang keempat. Saya begitu confident ianya akan semudah proses kehamilan yang sebelumnya. Sehinggakan saya belum lagi membuat sebarang shopping untuk bayi mengenangkan baju-baju bayi Imad dan barut masih elok dan cantik. Peralatan bayi yang lama seperti basin mandi, carseat juga belum dikeluarkan dari dalam bilik stor.

TAHUN 2009 YANG ISTIMEWA
Tahun 2009 ini merupakan segala-galanya baru buat kami sekeluarga.
Rumah baru, sekolah baru untuk anak-anak, bibik baru, kerja baru untuk suami, buku baru suami dan juga kereta baru. Alhamdulillah, itu semua rezeki Allah yang Memberi dan Memudahkan segalanya.
Ditambah juga dengan rezeki yang paling istimewa iaitu kehamilan yang keempat.
Saya bersyukur. Dan saya sentiasa mengingatkan diri agar bersyukur.
Namun syukur saya tidak mencukupi. Syukur saya belum lagi menjadikan saya insan yang sentiasa tunduk dan patuh kepadanya. Saya masih lagi lalai dalam sesetengah ibadah khusus, ria’ dan sombong masih terlintas di hati, tingkah laku saya adakalanya kasar terutama setelah penat bekerja.
Malah setelah diberitahu oleh doktor pakar bahawa saya mesti dimasukkan ke dalam wad, saya masih lagi memprotes dengan ketentuan dan ujian Ilahi ini. Syukur saya tidak menjadikan saya seorang insan yang akur dengan ketentuanNya. Lupa, Dia lebih berkuasa dan kita sentiasa layak diujiNya.
TANDA ALPA
Semalaman saya tidak lena tidur mengenangkan hari esok iaitu hari yang dijadualkan untuk saya masuk ke dalam wad. Tambahan pula, saya masih bertungkus lumus untuk menyiapkan jadual syif kerja para pegawai perubatan Jabatan Perubatan Kecemasan untuk bulan Jun.
Hati saya tidak tenang. Terlalu banyak perkara yang difikirkan. Bagaimana dengan anak-anak? Tak jemukah mereka hanya terperap di rumah semasa cuti sekolah ini? Bagaimana dengan kerja suami? Bagaimana pula dengan pengajian Masters saya? Buntu. Saya lupa untuk bertenang dan berserah kepada Allah.
Keesokan harinya, saya mengambil keputusan untuk mendaftar diri selepas suami bersolat Jumaat. Anak-anak tidak dihantar ke sekolah walaupun di sekolah mereka masing-masing ada sambutan Hari Guru. Kasihan Yop, dia beriya benar ingin memberikan hadiah lukisan kepada guru kelas dan guru subjek seninya. Namun, ‘cuti’ mereka itu adalah yang terbaik memandangkan kami mungkin akan lewat untuk mengambil mereka dari sekolah jika mereka tetap bersekolah pada hari itu.
Tepat pukul 2 petang, kami berangkat ke PAC, iaitu pintu masuk bagi Jabatan Obstetrik dan Ginekologi. Sepanjang perjalanan dan semasa menunggu untuk dimasukkan ke dalam wad, saya masih lagi bertanyakan hati sama ada ini adalah keputusan yang betul. Ahh, mungkin untuk 2, 3 hari sahaja. Kalau takde apa-apa, Isnin mungkin boleh keluar wad.
Saya dimasukkan ke wad 1A atau wad Nilam iaitu wad obstetrik.
Selepas hampir 1 jam di dalam wad, saya mula merungut akan kebosanannya. Belum apa-apa dah bosan. Jururawat dan doktor pun belum lagi sempat membuat sebarang pemeriksaan. Saya terus memikir dan mengenangkan betapa bosannya hidup yang bakal saya lalui untuk hari-hari berikutnya.
Alhamdulillah, nasib baik ada suami yang setia menunggu sehingga habis waktu melawat. Untuk memastikan saya tidak bosan, suami memberikan saya modem 3G BROADBAND CELCOM supaya saya boleh berinternet semasa di dalam wad.
Selesai solat Isya’, saya mula membuka laptop dan menyambungnya kepada internet. Niat asal laptop dibawa bersama agar saya dapat menulis thesis. Namun, dengan kebosanan yang melanda, Facebook menjadi teman setia, diselit bersama online messaging dengan suami tercinta.
Bosan, bosan dan bosan. Itu yang sering saya ungkapkan di dalam update Facebook saya. Kepada suami dan rakan-rakan juga saya menyatakan perkataan yang sama, bosan!
Tidak ada sedetik pun dalam hati, selain bosan dan cuba untuk melihat semua ini daripada perspektif yang lain. Sehinggalah suami saya membeli sebuah buku keluaran PTS yang bertajuk “Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman” oleh Professor Dr. Muhd Kamil Ibrahim.

TARBIYAH OLEH SEBUAH BUKU
Saya mula membaca buku tersebut selepas waktu Isya’ kelmarin. Dek kerana gaya bahasanya yang ringan dan santai, saya laju membaca dan memahami isi ceritanya. Tapi saya tidak pula berjaga semalaman untuk membacanya. Sekitar 11 malam saya sudah pun mengantuk dan meminta izin daripada suami (melalui sms) untuk beradu. Namun, saya digerakkan sekitar 4 pagi apabila jururawat hendak mengambil bacaan tekanan darah dan nadi.
Inilah bahananya apabila berada di dalam wad, tidur dan rehat kita sentiasa terganggu dengan apa yang berlaku di sekeliling. Alhamdulillah, hati kecil saya tidak mengamuk. Mungkin kerana sudah biasa terbangun malam apabila Imad meminta susu.
Saya cuba menyambung tidur semula. Namun, fikiran mula aktif dan berfikir macam-macam.
Saya segera mencapai buku yang dibaca sebelum tidur.
Satu muka surat ke satu muka surat hinggalah tamat.
Air mata bergelinangan..
Kisah perjalanan hidup si penulis semasa menunaikan haji terlalu menusuk hati.
Walaupun saya tidak pernah mengerjakan haji dan tidak pernah berniat untuk pergi menunaikan haji di usia yang muda, kisah beliau amat menyentuh jiwa ini dan saya juga bercita-cita ingin mempunyai pengalaman seperti beliau.
Dengan hidayah Allah, pengalaman beliau telah berjaya membuka mata dan hati saya untuk melihat apa yang berlaku kepada saya dan keluarga dengan persperktif yang jauh berbeza. ‘Kebosanan’ yang bakal saya dan keluarga lalui mungkin cara Allah mengajar kami agar lebih mengenaliNya iaitu Allah lebih berkuasa dan kita hambaNya tersangatlah kerdil serta lemah. Dan sebaik-baik pergantungan adalah kepadaNya.
Persoalan-persoalan seperti berapa lama saya akan berada di wad, adakah saya dan bayi akan selamat, bagaimana dengan suami dan anak-anak serta kerjaya saya, sepatutnya diserahkan kepada Allah SWT pada awal-awal lagi. Ada perkara yang di luar kemampuan kita dan kita mesti akur tentang itu. Itulah yang dinamakan dengan berserah seperti mana penulis berserah kepada Allah SWT semasa memikirkan siapa yang akan memelihara anak-anaknya semasa menjadi tetamu Allah. Dan juga semasa beliau membuat keputusan-keputusan lain di dalam hidupnya. Tetapi berserah sahaja tidak mencukupi jika kita sering lupa untuk berzikir mengingatiNya serta memperbaiki hubungan sesama manusia.
Terlalu banyak perkara untuk saya muhasabah. Ini mungkin suatu permulaan bagi satu perjalanan yang lebih panjang. Saya masih mencari dan tidak tahu apa dan mana satu yang harus dimulakan. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu.
Semoga Allah memberi petunjuk kepada diri ini.
UMMUSAIF
Wad Obstetrik, PPUKM
Salam, Dr Muna, saya doakan semuanya ok.Moga Puan dan bakal baby ke-empat puan selamat.