Hari ini seperti yang ditetapkan, saya telah pergi ke rawatan susulan sakit puan di PPUKM. Sebelum berjumpa dengan doktor pakar, imbasan ultrasound (ultrasound scan) ke atas kandungan saya telah dilakukan.
Sementara menanti giliran, saya dan suami berbual-bual mengisi masa. Bercerita tentang keseronokan beliau membaca novel Laskar Pelangi.
Hairan juga saya melihatnya, hubby bukanlah seorang pembaca novel. Namun dek penangan Laskar Pelangi yang sesuai dengan jiwanya, khusyuk benar beliau membaca.
DRAMA SWASTA
Sempat juga melihat gelagat sepasang suami isteri di sebelah kami yang bergaduh. Ya, bergaduh… di hospital.
“Hisyy… lambatnya. Orang nak beli barang ni!” kata si suami.
Mengeluh menunggu giliran isterinya dipanggil masuk.
“Hah, kalau dah jemu, pergilah balik. Tak payah ikut sekali. Biar orang mati ke, apa ke kat sini, tak payah peduli. Pergi la. Hospital kerajaan memang macam ni. Kalau malas tunggu buat apa ikut? Pergi le. Biar orang balik sendiri. Tak payah tunggu!!!” kata si isteri, macam popcorn gayanya.
Suami yang agaknya berasa malu dengan leteran isteri, terus bangun mencapai topi keledar.
“Hah, nak pergi mana tu?” tanya si isteri.
“Dah awak suruh balik, saya baliklah!” kata si suami dan terus berlalu pergi.
Saya dan suami hanya menggelengkan kepala. Laskar Pelangi diletak ke tepi dan suami mengajak saya bermain Inspector Gadget di iPHONE beliau.
Prof. lambat memanggil saya kerana sedang mengajar student barangkali.
Kata suami, salah satu cara Allah mengazab ahli maksiat di Padang Mahsyar nanti ialah dengan membiarkan mereka menunggu.
“Perbuatan menunggu itu secebis dari azab”, kata pepatah Arab.
SETELAH SEJAM LEBIH
Alhamdulillah, scan menunjukkan uri (placenta) saya telah naik ke upper segment, dengan kata lain tiada lagi placenta praevia. Kepala bayi juga telah berada di bawah (cephalic presentation), di samping berat bayi dianggarkan kira-kira 2.82kg. Untuk minggu ke 35 ini, anggaran berat berkenaan adalah normal untuk bayi.
Alhamdulillah, segala-galanya telah menjadi normal. Saya sangat bersyukur ke hadrat Ilahi. Terima kasih di atas doa kalian semua.
Insha Allah, saya akan kembali bekerja seperti biasa mulai esok. Namun, saya cuma akan bekerja 8-5pm Isnin hingga Jumaat dan bukannya bekerja syif di Jabatan Perubatan Kecemasan.
Bilakah cahaya mata keempat kami akan tiba?
Saya menantinya dalam rutin kerja, dengan penuh debaran.
UMMUSAIF.COM
68000 AMPANG
alhamdulillah…
kagum dgn ummu..bila baca ni.teringat kat ibu sendiri..macam ni kan.. masa nak lahirkan kita =)