
Hari ini, hari kedua belas saya berada di wad sakit puan. Tuhan sahaja yang tahu bagaimana saya mengharungi hari-hari di wad ini.
Ada masa sedih, ada masa tenang, ada masa optimis, ada masa pesimis, ada masa berlapang dada dan macam-macam lagi perasaan bermain di dalam perasaan. Usaha saya untuk menceriakan diri sendiri ada kalanya dikalahkan dengan kesunyian dan kebosanan yang sering menjengah. Masakan tidak, pergerakan saya hanyalah sekitar ruang katil dan bilik air. Selebihnya hanyalah sekadar bergerak ke suis kipas dan lampu bersebelahan dengan kaunter jururawat. Umpama penjara bagi mereka yang tidak melakukan sebarang kesalahan.
Pada mulanya saya begitu pasti kemasukan saya ke wad ini hanya untuk sehari dua. Namun, sekarang sudah pun menjangkau hari kedua belas.
Esok, merupakan penentu bagi segala keputusan yang bakal dilakukan. Esok, saya akan genap mengandung selama 33 minggu dan 6 hari. Kalau mengikut pelan asal, ultrasound scan hanya akan diulang pada minggu ke 34 hingga 36. Walau bagaimanapun, saya meminta ihsan para doktor agar mempercepatkannya agar status saya dapat disahkan awal.
Sebelum saya dimasukkan ke dalam wad pada 29 haribulan tempohari, saya sudah pun memaklumkan keadaan kepada pakar-pakar perubatan (dengan kata lain, bos) di jabatan saya. Memandangkan sebarang cuti sakit yang panjang, berkemungkinan ‘mengganggu’ tempoh pembelajaran program sarjana saya, maka sebagai menghormati mereka (curtesy), saya memaklumkan segalanya dengan lebih awal.
Namun, kata putus sama ada saya terpaksa menangguhkan pengajian masih lagi di peringkat ‘wait and see‘.
Sepanjang tempoh 12 hari ini, saya banyak berdoa dan berserah kepada Allah. Saya doakan yang terbaik buat semua. Saya sendiri tidak tahu apa yang terbaik. Adakah bersalin normal, cuti bersalin selama 3 minggu dan kemudiannya rushing menyiapkan thesis dan 5 case write up dalam tempoh yang berbaki ini adalah yang terbaik untuk saya? Atau bersalin secara cesarean section dan kemudiannya cuti bersalin selama 2 bulan (dengan kata lain, menangguhkan pengajian) adalah yang terbaik?
Dilema, sungguh dilemma..
Menangguhkan pengajian bermaksud, saya hanya akan menduduki peperiksaan akhir selepas satu setengah tahun dan bukannya hanya setahun. Memikirkan saya akan bekerja syif dan melakukan oncall serta belajar bersungguh-sungguh dalam tempoh yang lebih panjang daripada yang sepatutnya memang merunsingkan. Aktiviti bersama keluarga sentiasa terpaksa disesuaikan mengikut jadual kerja dan belajar. Cuti juga terhad iaitu 14 hari dalam tempoh 6 bulan dan cuti adalah merangkumi semua cuti iaitu cuti rehat, cuti sakit dan cuti kecemasan. Jikalau sudah menjadi pakar kelak, semuanya akan menjadi office hours. Apabila oncall, kita tidak perlu berada di hospital kecuali apabila dipanggil. Cuti juga lebih banyak dan fleksibel.
Namun, positifnya saya akan mempunyai lebihan masa untuk menyiapkan semua kerja-kerja yang terbengkalai. Saya juga berkemungkinan besar dapat berhari raya di kampung dengan sepuas-puasnya pada tahun ini memandangkan cuti raya jatuh dalam tempoh cuti bersalin itu nanti.
Saya juga dapat cuti bersalin selama 2 bulan. Teringat selepas saya melahirkan Imad, saya cuma bercuti selama 3 minggu. Selepas tamat cuti saya terus diletakkan bekerja syif malam selama 3 hari berturut-turut tanpa sebarang belas ihsan. Imad di rumah menangis setiap malam kerana meminta susu badan pada ketika itu. Sedih, sungguh sedih apabila mengenangkan itu semua.
Maka, hingga hari ini saya belum lagi membuat keputusan yang muktamat. Semuanya bergantung pada hari esok.
Sekiranya scan menunjukkan placenta praevia saya masih di tahap yang sama, maka pengajian saya harus ditangguhkan. Jika placenta praevia saya sudah beransur pulih iaitu naik ke tahap satu atau normal, maka saya akan berbincang dengan pakar sakit puan sama ada perlu sambung cuti berehat di rumah atau tidak. Sekiranya cuti rehat diperlukan bagi memastikan uri terus berada di atas, maka saya akan tetap menangguhkan pengajian. Dan sekiranya saya boleh bekerja seperti biasa, maka saya akan akur dan tidak menangguhkan pengajian. Namun, hati tetap berat kerana ini bermakna saya terpaksa bergegas untuk menyiapkan segala thesis dan kerja-kerja yang lain dalam tempoh yang singkat. Pada ketika itu, saya amat memerlukan kekuatan dan semangat yang berlipat ganda lebih daripada biasa.
Inilah dilema saya sehingga hari esok.
Ya Allah Ya Tuhanku. Kau berilah apa yang terbaik buat diriku dan keluargaku. Kau berikanlah kami petunjuk dan kekuatan di sepanjang ujian ini, Ya Allah. Kau jadikanlah kami hamba-hambaMu yang sentiasa berserah gantung kepada Mu Ya Allah.
UMMUSAIF
Wad Nilam, PPUKM.
masa first pregnancy sy ada by complication (leaking, rec UTI and byk kali masuk ward) + alahan teruk etc menyebabkan the whole year of starting MO (masa tu nbaru start MO) just started and have to learn byk tapi byk kali masuk ward and cannot do calls, cannot work in ward etc.. so sekarang baru start balik, initially very stressful but thebn when thinik back, everything ada hikmah disebaliknya
hopefully ummusaif byk2 bersbar dan bertawakkal