Alhamdulillah hari ini sudah masuk hari yang ke-15 saya berpantang. Maknanya, Ahmad Muizzuddin juga sudah berusia 15 hari. Cepat sungguh masa berlalu. Sedar-sedar nanti sudah 15 minggu, 15 bulan malah 15 tahun.
Berpantang untuk saya bukanlah berpantang hingga segala-galanya jadi terlarang. Namun banyak petua dan nasihat orang tua itu ada kebenarannya, dari segi ilmu perubatan. Pemakanan, cara menjaga diri, semua itu penting bukan sekadar untuk kesihatan semasa, tetapi untuk kesan jangka panjang.
Bagi ibu yang menyusukan anak seperti saya, salah makan juga akan terus memberi kesan kepada bayi yang menyusu. Kasihan Muiz, kalau saya tersilap memilih sayur, saya rasa perut berangin, Muiz pun terikut sama. Saya boleh menahannya, tetapi Muiz yang akan berasa tidak selesa. Menangis dia, tidak tidurlah kami semua.
Tetapi Abu Saif lena.
Keletihan barangkali.
Selepas bercuti daripada berceramah di hari-hari kritikal semasa melahirkan Muiz, kini ceramahnya jadi bertubi-tubi dan bertimpa-timpa. Setiap kali pulang ke rumah, sentiasa letih yang bersangatan. Kepada sesiapa yang menjemput Abu Saif ceramah, ketahuilah bantuan anda menghantar Abu Saif balik amat besar maknanya untuk dia, dan kami juga.
Sehingga hari ini Abu Saif belum berjaya mendaftarkan Muiz di Jabatan Pendaftaran Negara.
Salah kami juga. Kami tidak perasan yang pendaftaran Saiful Islam (kesnya sedikit berbeza kerana lahir di luar negara), Naurah dan Imad, berbeza pula dengan pendaftaran Muiz. Ada dokumen tambahan yang diminta iaitu kad pranatal yang tidak pernah diminta sebelum ini.
Setelah dua jam Abu Saif menunggu giliran, tiba-tiba dia diberitahu yang permohonan tidak boleh diproses kerana ketiadaan kad tersebut. Ceramah yang tidak putus-putus juga menyulitkan keadaan untuk pendaftaran dibuat segera.
Teringat saya kepada pengalaman melahirkan Saiful Islam di Belfast. Ibu bapa tidak perlu bersusah payah pergi ke Pejabat Pendaftar. Sebaliknya setiap hari pekerja daripada Pejabat Pendaftar akan datang ke hospital dan mendaftarkan semua bayi yang lahir di hospital. Ibu bapa hanya perlu ke Pejabat Pendaftar kemudian jika mereka mahu mendapatkan long birth certificate untuk kegunaan-kegunaan tertentu.
Banyak betul wang yang dapat kerajaan jimatkan, jika kaunter mendaftarkan bayi yang lahir, dilakukan di hospital.
Saya bercuti panjang.
Saudara mara dan teman pun ramai yang datang.
Rezeki Muiz… Alhamdulillah.
Semoga urusan-urusan penting berkaitan dapat diselesaikan, amin.
UMMUSAIF.COM
68000 AMPANG
Kesian Muiz…
belum berdaftar lagi…
Semoga ummusaif sihat hendaknya…
kesian ummusaif dengan jadual abusaif yang pack tu….
semoga semuanya berjalan dengan lancar….