
Hari ini, subuh-subuh lagi saya sudah terima 4 missed call daripada adik bongsu saya, Mohsin. Bukan saya tak dengar panggilan telefonnya itu, cumanya saya malas nak menjawab telefon di awal-awal pagi memandangkan Muiz masih nyenyak tidur di sisi saya. Kalau dah terbangun nanti, Muiz mungkin susah untuk tidur kembali.
Tepat pukul 8 pagi, saya menelefon adik saya. “Apa citer pagi-pagi dah telefon?” Rupa-rupanya adik saya merungut kerana tidak mendapat rawatan yang ’sepatutnya’ di PPUKM semalam.
Kata adik saya, dia sudah demam panas sejak tengahari semalam. Mengikut pesan pihak sekolah, semua pelajar atau guru yang demam panas mesti mendapat pemeriksaan di PPUKM. Adik saya ini mengajar di sebuah sekolah berhampiran dengan PPUKM.
Maka, petang semalam beliau telah pergi ke PPUKM. Namun setelah 4 jam, nombor beliau masih belum dipanggil. Oleh kerana tidak larat menunggu lama, maka beliau pun balik ke rumah.
Saya maklumkan kepada adik saya, memang sekarang ini semua hospital dibanjiri oleh orang ramai. Di PPUKM sahaja ada pesakit yang menunggu hampir 10 jam sebelum diperiksa oleh doktor. Di Hospital Sungai Buloh, seramai 800 orang datang dalam sehari. Begitu juga keadaannya di hospital-hospital lain. Ini semua berlaku kerana kebimbangan orang ramai dengan virus H1N1.
Maka, saya nasihatkan adik saya supaya mendapatkan rawatan awal di klinik berbayar terlebih dahulu memandangkan simptomnya baru sehari dan simptomnya tidaklah begitu serius.
Panik
Saya yakin orang ramai akan semakin panik dengan penularan virus ini. Masakan tidak, sudah 15 orang telah terkorban. Disebabkan ini, orang ramai mula membanjiri hospital sehingga mengakibat jabatan kecemasan di hospital hampir lumpuh.
Jumlah doktor yang bekerja pada satu syif (tempoh 8 jam) di jabatan kecemasan adalah terhad. Jika kita lihat di hospital-hospital kecil,kadang-kadang jumlahnya hanya 2 orang doktor untuk satu syif. Bayangkan jika ada 400 pesakit datang pada satu syif, ditambah pula kes kemalangan dan kecemasan yang serius, kemungkinan besar sakit demam dan batuk yang hanya baru sehari terpaksa menunggu lebih lama berbanding kes-kes yang serius tadi. Dengan adanya panik ini, maka sudah pasti tempoh menunggu adalah lebih lama daripada biasa. Kes-kes yang datang pula akan dibahagikan mengikut sistem triaj iaitu, kes yang datang akan dikelaskan mengikut tahap keseriusan. Kes yang serius akan dilihat terlebih dahulu walaupun ia baru sahaja didaftarkan.
Pusat Saringan Khusus
Minggu lepas, PPUKM terpaksa membuat beberapa perubahan apabila ‘kebanjiran’ ini berlaku. Pihak hospital akan bertanggung jawab untuk menguruskan kes-kes flu (demam, batuk dan selsema) atau ILI (influenza like illness). Dengan kata lain, kes-kes ini tidak akan diuruskan oleh Jabatan Kecemasan tetapi diuruskan oleh pihak pengurusan. Ini dilakukan supaya doktor-doktor yang bekerja di jabatan kecemasan dapat memberi fokus dan keutamaan kepada kes-kes lain yang juga serius seperti kes-kes kemalangan, sakit jantung, strok, asma dan lain-lain.
Saya setuju dengan cadangan baru ini. Dan saya rasa ianya juga mungkin efektif untuk hospital-hospital yang lain. Ini kerana kebanyakan pesakit yang datang dengan simptom flu sudah pun mendapat rawatan awal di klinik-klinik berbayar. Namun, mereka masih pergi mendapatkan rawatan di hospital bagi mendapatkan ujian penyaringan H1N1. Kerja-kerja penyaringan tidak sepatutnya dilaksanakan oleh Jabatan Kecemasan kerana ia akan menambahkan kerja dan kesibukan yang sedia ada di sana.
Kerja-kerja penyaringan bukan sahaja boleh dilakukan di hospital, malah satu pusat khas sepatutnya disediakan oleh pihak kerajaan untuk memberi informasi dan panduan yang lebih terperinci kepada orang ramai.
Kerjasama dengan klinik-klinik berbayar juga sepatutnya dipertingkatkan. Doktor klinik berbayar atau GP sepatutnya lebih berinformasi dan tahu membuat pemeriksaan serta bijak memberi panduan. Bijak memberitahu pesakit bila masa perlu pergi ke hospital atau tidak.
Kementerian Penerangan
Media sepatutnya memberikan informasi yang lebih telus dan efektif kepada masyarakat. Mungkin Kementerian Kesihatan perlu mempunyai satu slot khas di media arus perdana dan sampaikan pesanan pada setiap beberapa jam kepada orang ramai. Talian telefon tanpa tol harus disediakan untuk kemudahan orang ramai. Mungkin di sini, pentingnya tugas operator paramedik untuk memberi panduan kepada orang ramai melalui telefon dan televisyen. Informasi yang tepat dan berterusan juga sepatutnya disalurkan kepada Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Hanyalah Cadangan
Di atas hanyalah merupakan cadangan saya. Saya pun tak pasti akan praktikalitinya. Tapi kalau virus ini sudah mencapai di tahap kritikal atau ‘Major Disaster’, mungkin langkah-langkah di atas sudah terlewat jika ianya tidak diaplikasikannya dari sekarang. Parlimen perlu bersidang untuk mendapatkan kolaborasi di semua kementerian.
UMMUSAIF.COM
68000, Ampang.
assalamualaikum dr. bagusla penerangan dr tentang h1n1. Nak tanya kalau kepala kita bergegar kuat ada kesan sampingan tak.semalam saya jatuh.kepala hampir-hampir terhantuk kuat pada simen namun sempat dielakkan. tapi, gegaran yang kuat masih terasa di kepala. saya pernah scan tapi dr mengesahkan normal. dr rasa haruskah saya jumpa dr lsagi. Setakat semalam sudah puluh kali malah ratus kali kepala terhentak